Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengeluarkan ramalan Cuaca Signifikan bagi tempoh 20 hingga 22 November 2023. Berdasarkan analisis model cuaca tersebut, amaran hujan berterusan (Bahaya, Buruk dan Waspada) yang melibatkan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah dan Sabah berkuat kuasa pada hari ini.
  Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora turut dikemas kini berkuat kuasa sehingga 21 November 2023.
Sementara itu, di negeri-negeri lain, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang yang lebih menyeluruh juga berpotensi berlaku dalam tempoh berkenaan.
Sehingga jam 12 tengah hari, 20 November 2023, 3 buah negeri telah dilaporkan terkesan dengan bencana banjir. Sebanyak 3 daerah yang terlibat di negeri Perak (1), Terengganu (1) dan Pahang (1). Seramai 346 orang mangsa daripada 106 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan sedang berlindung di 6 PPS.
Saya minta penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa.
  Sila dapatkan maklumat dan amaran semasa melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, facebook @PubliclnfoBanjir dan twitter @JPS_InfoBanjir. Bagi maklumat cuaca pula, orang ramai boleh muat turun aplikasi myCuaca untuk maklumat cuaca yang terkini dan sahih dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).